Guru Ragut Kehormatan Pelajar Dihukum Penjara 12 Tahun
PUTRAJAYA — “Kamu telah mengambil kesempatan terhadap pelajar kamu,” kata seorang anggota panel Mahkamah Rayuan kepada seorang bekas guru yang diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan kerana merogol serta menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang murid berusia 12 tahun pada 2009.
Datuk Azahar Mohamed, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Kota Baharu ke atas Yek Hock Soon adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Menyifatkan kesalahan itu sebagai serius, Azahar yang bersidang bersama-sama Datuk Mohtaruddin Baki dan Datuk Rohana Yusuf, membuat keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan terakhir Yek berhubung sabitan, hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atasnya.
“Kami telahpun mempertimbang hukuman yang dijatuhkan terhadap kamu dan sependapat dengan Mahkamah Sesyen bahawa kesalahan yang kamu lakukan adalah serius lebih-lebih lagi ketika kamu merogol mangsa, kamu adalah seorang guru. Kamu telah mengambil kesempatan terhadap pelajar kamu,” katanya.
Yek, 30, dari Setiawan, Perak dihantar ke penjara hari ini untuk memulakan hukuman kerana sebelum ini, dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.
Pada 26 Jan tahun lepas, Mahkamah Sesyen memutuskan tertuduh bersalah merogol seorang pelajar yang ketika itu berusia 12 tahun 3 bulan di makmal sains sebuah sekolah di Pasir Putih, Kelantan antara 8 pagi dan 3 petang bulan Ogos 2009.
Yek turut didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan pelajar itu di tempat dan pada masa sama.
Dia dihukum penjara sembilan tahun dengan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta penjara tiga tahun dengan dua sebatan bagi kesalahan mencabul kehormatan dan diarah menjalani hukuman secara serentak.
Yek kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak Mahkamah Tinggi pada 19 Feb lepas.
Dalam penghakimannya, Azahar berkata Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat apabila menerima penjelasan mangsa mengapa beliau tidak menyebut tentang insiden rogol dalam laporan polisnya.
“Penting untuk kita ambil perhatian bahawa mangsa ketika itu berusia 12 tahun serta dalam keadaan trauma, dan penjelasan bahawa beliau malu untuk memaklumkannya kepada polis (kejadian rogol) adalah munasabah,” katanya.
Azahar berkata Mahkamah Sesyen berpeluang mendengar keterangan mangsa dan menilai sama ada beliau saksi yang boleh dipercayai.
Oleh itu, katanya, sabitan terhadap Yek adalah selamat dan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai sebab untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, Yek, yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Sukri Mohamad, mendakwa mangsa bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana tidak menyatakan kejadian rogol itu dalam laporan polisnya.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi pula berhujah mangsa memang tidak menyebut tentang kejadian rogol dalam laporan polisnya namun memberi keterangan berhubung perkara itu di mahkamah.
Beliau berkata mangsa juga memaklumkan kejadian itu kepada seorang guru lain dan ibunya sebelum membuat laporan polis.
0 Response to "Guru Ragut Kehormatan Pelajar Dihukum Penjara 12 Tahun"
Post a Comment